Sunday, 18 May 2014

Bertemu Langsuir Ketika Memancing

Bertemu Langsuir Ketika Memancing
Salam sejahtera. Manusia merupakan
sebaik-baik makhluk ciptaan tuhan di alam
maya ini. Firman Allah s.w.t. dalam al-
Quran bermaksud: "Sesungguhnya kami
telah jadikan manusia sebaik-baik
ciptaan". Manusia juga dikurniakan
sesuatu yang tidak ada pada sebarang
makhluk lain... sesuatu yang disebut
sebagai akal. Namun seringkali manusia
sendiri tidak tahu menghargai pemberian
tersebut, lalu mempersia-siakannya.
Hari sudah melangkah ke petang. Sebaik
selesai menunaikan fardhu zohor, aku
bergegas ke belakang rumah. Persediaan
belum aku buat, sedangkan bila-bila masa
dari sekarang bapa saudaraku akan
sampai. Kami sudah sepakat untuk pergi
memancing di Pulau Indah. Cuti
persekolahanku kali ini dimulakan dengan
aktiviti yang memang aku minat semenjak
kecil lagi, memancing.
"Assalamualaikum...! Lan!." Ahh.. pakcikku
dah sampai. "Dah siap ke belum?",
laungnya lagi.
"Waalaikumussalam. Sini pakcik! Dah siap
dah."
Setelah memeriksa semua keperluan, kami
berangkat meninggalkan perkarangan
rumah. Empat batang joran bersama
keperluannya seperti mata kail, batu ladung
dan sebagainya ada kami bawa bersama.
"Kita cari umpan dalam perjalanan nanti",
kata pakcik.
"Okey", kataku sepatah. "Cantekkkkk,"
hatiku pula bersuara.
Perjalanan melalui lebuhraya agak
membosankan. Aku menghidupkan radio
bagi menghilangkan suasana sunyi. Pakcik
terus memandu dengan tenang.
"Yeaaa... kita bersama lagi petang ini
dengan lagu pembukaan yang digilai ramai
sekarang, Isabella...".
Suara juruhebah kesukaan ramai, Jond,
berkumandang di udara. Aku juga salah
seorang peminat setianya.
Persembahannya memang hebat.
Aku melayan perasaan sendiri. Pakcikku
bersiul kecil mengikut rentak lagu yang
sedang berkumandang. Aku ikut terhibur.
Selang beberapa minit, pakcikku
menghentikan kereta di bahu jalan.
"Ada orang jual umpan tu. Mari kita
tengok."
Sebaik selesai urusan membeli umpan,
kami meneruskan perjalanan. Kami hanya
memerlukan lebih kurang setengah jam
sahaja untuk sampai ke tempat tujuan.
Kehijauan pepohon bakau melenyapkan
terus keletihan. Alangkah cerianya
beburung berterbangan bebas. Terlupa
seketika bahawa aku akan menduduki
peperiksaan PMR tak lama lagi.
"Meh sembahyang asar dulu."
Aku mengambil wudhuk dan kami
berjamaah. Selesai berdoa, kami
mengambil joran masing-masing dan mula
memasang mata kail. Aku yang sudah
biasa dengan joran dan kail, tidak berasa
kekok lagi. Semuanya aku buat sendiri.
Kelihatan beberapa orang sedang leka
dengan kail masing-masing. Ada juga yang
sekadar menonton.
Zuuppppp... Aku melepaskan tali pancing.
Kami mula menunggu, setelah semua joran
dipasang. Moga-moga kami berjaya hari
ini, insya Allah.
Matahari sudah mula terbenam, namun
joran kami masih belum terusik. Sesudah
beberapa kali memasang umpan, hanya
riak halus air yang kelihatan. Kami ambil
keputusan untuk bersolat dahulu.
Sesudah solat, kami makan nasi bekal
yang disediakan oleh ibu di rumah tadi,
sambil sedia untuk bertindak andainya
pancing terusik. Sesudah makan, kami
kembali tumpukan perhatian kepada
pancing.
"Isy... kenapa tak ada sekor pun naik ni?",
bisik hati aku. "Belum rezeki agaknya..."
Ketika aku asyik memerhatikan permukaan
air, mataku tertumpu ke arah sesuatu yang
kelihatan seperti cahaya, kira-kira 5 meter
dari tempat aku duduk. Aku mula
memerhatikan objek tersebut yang
berkelakuan seperti seekor pepatung yang
seringkali kelihatan bermain-main di
permukaan air.
"Apa tu aaa...? Kalau pepatung takkan
cerah sangat cahayanya tu." Namun kata-
kata itu tidak aku tuturkan.
Cahaya tersebut semakin pudar dan dengan
perlahan terbentuk suatu objek lain yang
sesunggunya menyebabkan aku tergamam.
Jelas di hadapanku, kelihatan satu
lembaga berbentuk kepala. Mukanya hodoh
dan berambut panjang mengurai.
Aku mula menggigil, tapi mulutku benar-
benar terkunci. Pakcikku yang tadi berada
tidak jauh dariku kini sudah hilang. Aku
berasa amat takut. Lembaga tersebut
menggebang-gebangkan rambutnya seperti
sayap burung dan memandang ke arahku.
Matanya yang merah membuatkan aku
semakin takut.
Tiba-tiba aku rasa seluarku basah.
Serentak dengan itu, bahu aku ditepuk dari
belakang.
"Lan! Lan oii...! Kau tengok apa tu?"
Mulutku cuba untuk-untuk berkata-kata
tapi tak berdaya. Mataku tetap memandang
ke arah lembaga tersebut yang kelihatan
semakin kabur. Seketika kemudian, ia
lenyap sepenuhnya. Aku tetap tak boleh
bercakap, walaupun aku sedar dengan apa
yang berlaku di sekelilingku. Pakcikku
terus memanggil-manggil namaku.
Semakin lama aku rasa semakin lemah dan
akhirnya aku pengsan.
Keesokannya, aku mula sedar. Aku berada
di rumah dan ibuku berada di sebelah.
"Mana pakcik?" spontan aku bersuara.
"Pakcik ada kat luar tu...", ibuku
menjawab.
Aku rasa badanku lemah, tapi aku masih
boleh melangkah perlahan-lahan ke
serambi rumah.
Pakcikku yang sedang leka
menghembuskan asap rokoknya, lantas
membetulkan duduknya apabila aku bersila
berhampiran dengannya.
"Kau kena sampuk semalam agaknya".
Pakcikku bersuara sambil tergelak kecil.
Aku cuma mendengar apa yang
diceritakannya. Katanya, dia lihat aku
seolah-olah dipukau sesuatu dan langsung
tak hiraukan panggilannya. Dia terus
mengangkat semua joran dan
mengemaskan barang. Aku kemudiannya
didukung masuk ke kereta dalam keadaan
kejang, seperti terkena kejutan elektrik.
Aku tak dapat huraikan sepenuhnya bentuk
lembaga tersebut kerana setiap kali
teringat, aku akan berasa takut. Sehingga
ke hari ini, aku tidak berani memancing
pada waktu malam. Mungkin aku dah kena
fobia agaknya.

No comments:

Post a Comment